Bagaimana dan Kenapa Merdeka Centre Salah dan Betul

Fakta menunjukkan bahawa Merdeka Centre mempunyai reputasi yang tinggi dalam menghasilkan hasil tinjau selidik yang jitu.

Oleh Mustaqim Abdullah

Fakta menunjukkan bahawa Merdeka Centre mempunyai reputasi yang tinggi dalam menghasilkan hasil tinjau selidik yang jitu.

Tetapi, rekod reputasi yang baik sahaja mungkin tidak cukup tuntas untuk menidakkan tanda-tanda yang menunjukkan tsunami Melayu akan terjadi.

Google Analytic mencatatkan pembaca Malaysiakini mencecah 8 juta sehari mutakhir ini, dengan penambahan hampir 300 peratus daripada kalangan kaum Melayu. Malah hal ini berlaku sebelum Malaysiakini membuat keputusan untuk menurunkan paywall mereka.

Dan jika seseorang didarabkan dengan lima, kerana lazimnya seseorang itu boleh berkongsi cerita dengan lima rakannya sehari, angka pembaca Malaysiakini boleh mencecah kepada 40 juta bacaan atas talian. Dalam erti kata lain, hampir 40 juta pembacaan atas talian yang bersifat anti-kerajaan. Oleh itu, sesebuah kerajaan hampir pasti bahawa mereka berada diambang kekalahan dalam pilihanraya kali ini.

Malah tidak mengejutkan, walaupun agak pelik, terdapat beberapa iklan pada laman Malaysiakini berkenaan manifesto kerajaan pusat.

Hal ini berkait rapat dengan kenyataan Wong Chin Huat, “Jika kerajaan yakin bahawa tiadanya tsunami melayu, mengapa mereka mengharamkan parti Bersatu disaat-saat akhir?”

Tambahan pula, terdapat tiga sebab utama mengapa tsunami Melayu tidak dapat dibendung lagi.

Pertama, terdapat pihak yang menyatakan sokongan mereka kepada Barisan Nasional dengan mengharapkan bantuan, tetapi tiada sesiapa pasti bahawa undi mereka tidak boleh berubah semasa Pilihanraya kelak.

Kedua, walaupun terdapat beberapa pihak ‘pulang’ kepada pangkuan Barisan Nasional, ini jelas menunjukkan mereka tidak berpuas hati dengan Barisan Nasional pada mulanya. Oleh itu, tiada siapa boleh menafikan bahawa pihak-pihak ini juga boleh ‘pulang’ kepada Pakatan Harapan – yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas pemimpin karisma UMNO.

Ketiga, ketika mana Pakatan Harapan membenarkan pesta pilihanraya berjalan, dan mengajak semua rakyat untuk pulang mengundi – tidak dinafikan lagi, perkembangan menunjukkan ramai rakyat Malaysia bersemangat untuk pulang mengundi jelas menunjukkan tsunami politik akan berlaku.

Dan kesemua ini, tidak mungkin dapat dihasilkan jika sampel yang digunakan hanya 1500 orang sahaja, sepertimana diaplikasikan oleh Merdeka Centre.

Walaupun hasil tinjau selidik Merdeka Centre benar pada tahun 2008 dan 2013, tetapi kedua-dua pilihanraya ini tidak mengambil kira momentum skandal besar seperti 1MDB, MARA dan GST. Oleh itu, berkemungkinan besar, hasil tinjau selidik oleh Merdeka Centre, sedikit sebanyak telah menolong Pakatan Harapan. Apabila fenomena tsunami Melayu dipandang enteng, ini akan memberi kesan psikologi kepada orang Melayu apabila “Orang Melayu Pantang Dicabar!”.