Kembalinya Orang Johor yang percayakan Tsunami Melayu

Dr. Maszlee Malik boleh sahaja menjadi seperti kebanyakan ahli akademik yang lain – terikat dengan dunia akademik, sama ada bercakap jujur, ataupun melontarkan idea-idea basi demi menjaga periuk nasi beliau. Menjadi pensyarah yang membosankan sekurang-kurangnya membolehkan beliau mencari makan di Malaysia.

Malah, ia boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak terjun ke dalam masyarakat. Tepat dengan ungkapan oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said bahawa apabila masyarakat terperangkap dengan mentaliti ‘cari makan’, rakyat Malaysia akan menjadi takut untuk melakukan perubahan, walaupun untuk mengubah negara yang kini diambang kejatuhan.

Dr. Maszlee Malik, merupakan Penolong Professor Sains Politik mempunyai pengalaman luas di dalam bidang akademik, bahkan aktif sebagai aktivitis bersama Badan/Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), dan fasih berbahasa inggeris dan berbahasa Arab.

Antara sebab utama beliau akhirnya keluar daripada zon selesa dan menyertai Bersatu adalah kerana pelbagai isu korupsi dan rompakan besar-besaran yang berlaku di Malaysia, terutamanya berkaitan 1MDB – yang turut menjadi bahan jenaka di peringkat antarabangsa.

Walaupun Bersatu sedang dilanda masalah, di mana Registrar of Societies telah mengharamkan parti tersebut daripada menerajui Pakatan Harapan, Dr. Maszlee tetap optimis dan berpegang kepada kata-kata keramat; benar tetap benar.

Berbekalkan kemahiran dan pengalaman yang luas di dalam bidang Tadbir Urus yang baik atau Good Governance, Perundangan Islam dan Politik ketika mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, serta ketika menimba ilmu di Universiti Jordan dan Durham Universiti, menjadikan beliau mampu bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Beliau bersiap-siaga bukan untuk kepentingan peribadi, akan tetapi keputusan menyertai politik itu dibuat demi masa depan negara yang tercinta, kerana beliau tahu jalan yang bakal dilalui penuh rintangan dan cabaran serta onak dan duri.

Sebagai seorang ahli akademik muslim yang berwibawa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beliau sangat dihormati dan disegani oleh warga universiti. Dan beliau hanya perlu mengajar dan menulis – seperti kebanyakan ahli akademik yang lain- untuk beberapa ketika sebelum beliau mendaki tangga akademik sehingga ke peringkat tertinggi, dan mungkin akhirnya dilantik sebagai Rektor – hanya jika beliau kekal membisukan diri.

Malah, ada harga yang perlu dibayar setelah menyertai Bersatu dan Pakatan Harapan.

Jika Pakatan Harapan gagal mengekang kemenangan Najib Razak di dalam Pilihanraya akan datang, berkemungkinan besar dunia akademik Dr Maszlee akan terkubur sehingga menjejaskan kehidupan beliau dan keluarga.

Tetapi, beliau tetap teguh dan utuh akan prinsipnya.

Bagi individu dan kumpulan yang pernah belajar dan bekerja bersama beliau, Dr. Maszlee diangkat bagaikan permata. Beliau mempunyai keupayaan luar biasa menerangkan idea-idea politik dan sosial yang kompleks ke dalam satu prinsip mudah: bagaimana mentadbir negara dengan baik.

Kebijaksaan Dr Maszlee sedang melalui satu proses yang disebut oleh penulis karya ‘War and Strategy’ iaitu Carl Von Clauwitz sebagai ‘pergeseran’. Setiap idea berkenaan tadbir urus yang baik, tidak kira secara teori mahupun praktikal, perlu diperkenalkan bagi menggalakkan perdebatan ilmiah dalam kalangan Bersatu dan Pakatan Harapan.

Jika tidak, ia akan menjadi sesuatu yang tidak normal, kerana menurut Martin Luther King, seorang pejuang hak asasi terkemuka, sesebuah idea itu perlu melalui satu proses kematangan minda, untuk mengungkapkan kata-kata, atau melengkapkan sebuah ayat, walaupun ia masih tidak sempurna. Oleh itu, Dr. Maszlee bukan sahaja hanya menyertai sebuah parti politik semata-mata, tetapi satu proses pendemokrasian di negara ini dan satu pengembaraan jiwa.

Justeru, Dr. Maszlee akan menempa kejayaan tidak kira apa jua yang berlaku pada keputusan Pilihan raya Ke-14 akan datang. Beliau akan bangkit menjadi seorang pemikir dan pemimpin yang ulung. Selagi mana beliau tahu mengadaptasikan etika politik secara tersusun ke dalam pemerintahan yang demokratik, Malaysia akan menuju ke puncak kejayaan, harmoni dan damai.

Demi agama, bangsa dan negara merupakan kata-kata azimat beliau. Dr. Maszlee juga sedar bahawa beliau seharusnya memandu masyarakat mengimbangi ketiga-tiga elemen tersebut seperti mana yang beliau amalkan. Berdasarkan pelbagai kajian ilmiah yang dihasilkan beliau, beliau mampu mencapai serta membantu masyarakat menemui dan memenuhi potensi diri.

Apabila potensi diri rakyat dapat dicapai, Malaysia, secara tidak langsung akan menggapai potensi sebenar sebagai sebuah kuasa ekonomi dan sekaligus disegani oleh masyarakat antarabangsa – samada dalam hal berkaitan islam dan demokrasi, serta etika pengurusan dalam pasaran ekonomi.

Tetapi, malangnya, hakikat pada masa kini ialah negara masih berseronok tatkala hutang negara menghampiri RM1 Trillion.